Sebagai sebuah buku teks yang sesuai untuk bilik darjah atau
belajar sendiri, Pragmatik
Bahasa Pengaturcaraan yang ditulis
oleh Michael Scott memberikan suatu gambaran keseluruhan teori dan amalan
tentang bagaimana bahasa-bahasa pengaturcaraan dijalankan
dalam komputer-komputer hari ini. Disusun
dengan jelas dan dipenuhi dengan berbagai-bagai
perspektif tentang melebihi 40 buah bahasa yang berlainan, buku ini akan
dihargai kerana kedalaman dan kesempurnaan liputannya terhadap suatu topik yang
amat penting dalam sains komputer.
Dengan rujukan kepada berdozen-dozen bahasa pengaturcaraan dari Ada ke
Turing (termasuk C, C++, Java, dan Perl), buku ini adalah panduan yang
benar-benar mendalam tentang bagaimana kod disusun (atau ditafsirkan) dan
dilaksanakan pada perkakasan komputer. Bab-bab yang awal cenderung lebih
bersifat teori (dengan liputan tentang ungkapan-ungkapan biasa dan tatabahasa
bebas konteks) dan akan amat bernilai kepada para pelajar sains
komputer, tetapi banyak daripada buku ini juga boleh difahami oleh sesiapa yang
ingin memperluas pengetahuan mereka (khususnya kerana piawai-piawai XML
yang terkini sekarang menggunakan sesetengah perbendaharaan kata yang sama
dengan apa yang disampaikan dalam buku ini).
Buku ini mengandungi suatu perbincangan yang menyeluruh tentang penyusunan dan
pemautan, serta juga tentang bagaimana jenis-jenis data dilaksanakan dalam
ingatan. Bahagian-bahagian tentang pengaturcaraan fungsian dan logik
(diterangkan dengan Scheme dan Prolog yang seringnya digunakan dalam
penyelidikan kecerdasan buatan) boleh memperluas pemahaman anda tentang
bagaimana bahasa-bahasa pengaturcaraan berjalan. Bahagian-bahagian akhir
tentang kelebihan dan kerumitan pemprosesan serentak, serta pengolahan
pengoptimuman kod, melengkapi teks di sini. Setiap bab membekalkan banyak
latihan supaya anda boleh mencuba idea-idea itu dengan diri sendiri.
Para pelajar akan mendapat manfaat daripada contoh-contoh praktik yang
diperoleh daripada berbagai-bagai bahasa. Jika anda merupakan seorang pembangun
yang belajar sendiri, tutorialnya yang amat mudah difahami boleh memberi anda
perspektif tentang takrif-takrif formal bagi banyak bahasa
komputer yang boleh
membantu anda menguasai bahasa-bahasa yang baru dengan lebih berkesan.
-- Richard Dragan
Topik-topik yang diliputi: Suatu tinjauan tentang bahasa-bahasa
pengaturcaraan kini, penyusunan lwn. pentafsiran, proses penyusunan, ungkapan
biasa dan tatabahasa bebas konteks, pengimbas dan penghurai, nama, skop dan
pengikatan, aturan skop, beban lebih, analisis semantik, pengenalan seni
bina komputer, perwakilan data, set arahan, seni-seni bina 680x0 dan MIP,
aliran kawalan dan penilaian ungkapan, lelaran dan rekursi, jenis data,
penyemakan jenis, rekod, tatasusunan, rentetan, set, penuding, senarai, I/O
fail, subrutin, jujukan panggilan dan penghuluran parameter, pengendalian
pengecualian, korutin, pemprosesan bahagian belakang, penjanaan kod, pemautan,
asas pengaturcaraan berorientasi objek, pengkapsulan dan pewarisan, pengikatan
lewat, pewarisan berbilang, bahasa-bahasa fungsian dan logik, Scheme dan
Prolog, pengaturcaraan dengan keserentakan, ingatan kongsi dan penghuluran
mesej, serta teknik-teknik pengoptimuman kod.
Ulasan lain tentang Pragmatik Bahasa Pengaturcaraan