BERUBAT DENGAN BENDA YANG NAJIS Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala
Rasulillah, Wa''ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Sakit adalah suatu perkara yang biasa menimpa manusia. Adakalanya sakit
itu menimpa manusia dalam bentuk fizikal dan ada juga kalanya dalam
bentuk spiritual. Dalam semua keadaan tersebut, orang sakit biasanya
akan berusaha mencari ubat untuk menghilangkan sakit itu. HUKUM
BERUBAT Berubat untuk menghilangkan penyakit itu adalah perkara yang digalakkan
pada hukum syara‘. Bahkan ia boleh menjadi ibadah jika dilakukan dengan
niat yang baik, seperti bertujuan untuk melaksanakan tuntutan syara’
dan bagi memulihkan kesihatan tubuh badan agar dapat beribadat dan
meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan lebih
sempurna. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah
berubat dan menyuruh umatnya berubat. Sebagaimana dalam sebuah hadis,
daripada Usamah bin Syuraik menjelaskan bahawa segolongan orang Arab
pernah bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kata mereka:
"Wahai Rasulullah adakah kami boleh berubat? Baginda menjawab:
"Berubatlah kamu, kerana Allah ‘azza wajalla tidak menjadikan penyakit
melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu
sakit tua." (Hadis riwayat Abu Daud) Dalam hadis yang lain pula, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penyembuh." (Hadis riwayat Bukhari)
Sabda Baginda lagi Maksudnya: "Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya,
maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin
Allah ‘azza wajalla." (Hadis riwayat Muslim)
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, bahawa perbuatan berubat itu
ternyata digalakkan dalam Islam. Namun begitu, persoalan yang timbul
bagaimanakah cara berubat yang dibenarkan oleh hukum syara‘? CARA BERUBAT
Pada dasarnya ubat atau penawar yang dianjurkan untuk dipakai mestilah
ubat-ubatan yang halal, suci, bukan yang
diharamkan dan dapat diterima
oleh naluri pesakit. Berubat dengan benda yang haram itu
tidak dibenarkan, bahkan ia diharamkan kecuali dalam keadaan darurat.
Ini jelas bersandarkan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Ad-Darda’ bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan
dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan
jangan kamu berubat dengan yang diharamkan." (Hadis riwayat Abu Daud) Imam Bukhari pula ada menyebutkan dalam shahihnya daripada Ibnu Mas‘ud katanya: Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu." (Dikeluarkan oleh Bukhari) Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada ubat yang kotor." (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)
Berdasarkan hadis-hadis ini, jika penyakit seseorang itu masih dalam
peringkat biasa yang tidak membahayakan, maka sesetengah ulama berkata
bahawa adalah tidak harus yakni haram berubat dengan benda-benda najis
itu. HIKMAT PENGHARAMANNYA
Adapun sudut rahsia atau hikmat ia diharamkan, mengikut para ulama
Islam; najis itu menjijikkan dan tidak disukai oleh akal dan naluri.
Jadi ia tidalayak dipakai atau dijadikan untuk penawar penyakit.
Ibnu al-Qayyim Rahimahullah ada menerangkan lebih jelas lagi rahsia
ini, bahawa larangan tidak dibenarkan benda-benda yang diharamkan
sebagai ubat penawar penyakit itu ialah, kerana antara syarat boleh
mendapat kesembuhan menerusi sesuatu ubat itu ialah jika terdapat sikap
menerima (suka) kepada ubat berkenaan, dan ada keyakinan terhadap
khasiat (manfaatnya), di samping percaya, padanya ada keberkatan yang
dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kemudian bagi
seorang Islam pula, yang haram itu memanglah kotor, najis dan
menjijikkan. Setiap yang kotor dan menjijikkan, ia tidak diterima
bahkan ditolak oleh naluri yang sihat. Demikian itulah
kedudukan najis yang diharamkan, mengapa ia tidak sesuai untuk
dijadikan ubat, kerana syarat untuk ianya dapat diterima oleh naluri
yang sihat tidak ada lagi. Inilah antara rahsia atau sebab mengapa
berubat dengan yang haram itu dilarang. (At-Tibb an-Nabawi: 126) Demikian antara pendapat ulama mazhab lain di luar mazhab Syafi’e.