Muqaddimah Tujuan hidup manusia: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Adz-Dzaariyaat : 56) “Wahai
hambaKu, Aku tidak menjadikan kamu agar Aku terhibur dari kesepian,
atau untuk membanyakkan bilangan kamu dari kekurangan, atau meminta
pertolongan kamu dalam perkara yang Aku lemah, begitu juga bukan dengan
tujuan untuk mendapatkan manfaat atau menolak kemudharatan. Hanyasanya
Aku menjadikan kamu untuk beribadat kepadaKu dan berzikir serta
bertasbih kepadaKu setiap pagi dan petang." Hadis Qudsi. Pengertian Ibadah Berasal
dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh,
taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain. Menurut
istilah syarak: taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada
Allah swt - mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan
di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah
dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia
merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt. Asas-asas ibadah 1. Ketundukan
- menurut, mengikut dan mendekatkan diri dengan segala perintah yang
disyariatkan Allah. Ketundukan ini berasaskan kepada perasaan sedar
terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya ai atas segala sesuatu
dibandingkan dengan kedaifan dan kekerdilan diri sendiri. 2. Kecintaan
- kepatuhan ini hendaklah juga lahir dari rasa cinta kepada Allah. Ia
berdasarkan kesedaran manusia terhadap limpah kurnia Allah,
nikmat-nikmat dan rahmatNya. Kesedaran ini juga lahir daripada rasa
kagum terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah. “Katakanlah:
Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah
mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.” Ali Imran : 31 “Dan diantara
manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain
Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun
orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.” Al-Baqarah
: 165 Ciri-ciri ibadah 1.
Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus - tidak memerlukan
perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat
mengadu dan meminta ampun. 2. Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu. 3.
Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas - meliputi setiap aktiviti
kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya
cukup syarat. Syarat-syarat ibadah 1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak. 2.
Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik - bagi memelihara
kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan
mamakmurkan bumi Allah. 3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya. “Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” Al-hadith. 4.
Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat
dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan
tidak menindas atau merampas hak orang lain. 5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib. Peranan ibadah yang khusus Ibadah
yang khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah untuk
mempersiapkan individu menghadapi ibadah yang umum yang mesti dilakukan
di sepanjang kehidupan.
Solat mengingatkan
kita lima kali sehari bahawa sesungguhnya kita adalah hamba Allah dan
hanya kepadaNya tempat pengabdian kita untuk mengeratkan hubungan kita
dengan Allah. Puasa menimbulkan perasaan taqwa kepada Allah sehinggakan kita tidak membatalkannya walaupun bersendirian. Zakat
mengingatkan kita bahawa harta yang kita perolehi adalah amanah dari
Allah. Di dalam harta kita ada hak-hak orang lain yang mesti ditunaikan. Haji menimbulkan perasaan cinta dan kasih kepada Allah di dalam hati dan kesediaan untuk berkorban keranaNya. Matlamat dan tujuan ibadah Kenapakah
kita beribadah menyembah Allah SWT? Kenapakah Allah mewajibkan kita
beribadah dan mentaatiNya? Adakah sebarang faedah diperolehiNya
daripada perasaan khusyuk dan ikhlas kita yang patuh kepada perintah
dan meninggalkan laranganNya? Kiranya ada manfaat maka apakah
hakikatnya manfaat itu? Adakah sasaranya semata-mata perintah Allah
yang kita mesti melaksanakannya? “Aku tidak
berhajatkan rezeki sedikitpun dari mereka itu dan aku tidak menghendaki
mereka memberi Aku makan.” Adz-Dzaariyaat : 57 “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Faathir : 15 “Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri.” Fussilat :46 “Dan barangsiapa yang mensucikan diri mereka, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan diri sendiri.” Faathir : 18 “Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya untuk dirinya sendiri.” Al-Ankabut : 6 Penutup Kita
seharusnya menyedari betapa pentingnya untuk kita mengetahui serta
membezakan konsep ibadah yang ditentukan olah Islam dan bukan Islam.
Ibadah merupakan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah, mengamal
serta mengikuti kehidupan sebagaimana yang ditentukan olehNya sepanjang
masa. Tidak cukup bagi kita dengan hanya
mengerjakan ibadah khusus semata-mata dan meninggalkan ibadah yang
lebih umum. Pun begitu tidak harus ibadah umum melalaikan kita dari
ibadah khusus. Keimanan menuntut kita merealisasikannya di dalam kehidupan: “Sesungguhnya
orang-orang yang mengatakan : ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka
meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka
(dengan mengatakan): ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu
merasa sedih, dan gembirakanlah mereka dengan (memperolehi) syurga yang
telah dijanjikan olah Allah kepadamu.” Fussilat : 30