ISTIQAMAH secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk
melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan.
ISTIQAMAH adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan oleh setiap
individu Muslim. Ada beberapa perkara yang boleh menjana sikap
istiqamah dalam beribadah antaranya : 1. Ilmu yang mantap Kekuatan
ilmu adalah perkara utama dalam menjana rasa istiqamah. Melalui ilmu
akan menumbuhkan keyakinan dan keimanan yang kukuh. Oleh itu, ilmu
pengetahuan adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dahulu
sebelum
ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Ini kerana tidak
mungkin seseorang itu tertumpu kepada sesuatu yang tidak ia ketahui
hakikatnya. Perkaitan antara ibadah dan istiqamah telah diungkap oleh
Allah Subahanahu Wataala sebagaimana firman-Nya yang tafsirnya: "Dan
juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat
keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya,
sehingga tunduk taatlah
hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya
Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang
lurus."(Surah Al Hajj ayat 54). Kemantapan ilmu akan
menjadikan nilai ibadah lebih bermakna. Kita juga memahami tujuan
ibadah tersebut, bagaimana perlaksanaan yang sebenar serta lebih yakin
tentang hikmah-hikmah yang terkandung di dalam setiap ibadah. Ia juga
mendorong seseorang Muslim itu melakukan ibadah bukan sekadar
ikut-ikutan tanpa memahami tuntutan sebenar ibadah tersebut. 2. Bersahabat dengan orang-orang yang beristiqamah Sahabat
adalah cermin bagi seseorang sebagaimana yang telah dinyatakan oleh
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang bermaksud: "Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri)." (Hadis riwayat Al-Imam Abu Daud). Orang-orang
yang berjiwa istiqamah akan sentiasa berbuat kebajikan,
nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa dan sabar dalam
melaksanakan ibadah. Justeru itu, kita perlu berhati-hati memilih
sahabat, kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi
mentaliti dan moral kita. 3. Menghayati sirah orang-orang yang beristiqamah Sirah
dan sejarah hidup orang-orang yang beristiqamah wajar dibaca dan
dihidupkan di dalam diri kita. Dengan cara ini, pengaruh positif mereka
bakal meninggalkan kesan yang baik kepada seseorang untuk menimbulkan
keazamannya dalam meneladani kehidupan mereka. Sikap istiqamah mereka
terpancar dari sudut keilmuan seperti kegigihan dalam menuntut serta
menyampaikan ilmu dan menulis karya-karya ilmiah yang agung. Selain
dari itu, umat Islam perlu juga sentiasa menghayati ketahanan daya
istiqamah pejuang-pejuang terdahulu dalam jihad mereka menegakkan Islam
dan ketabahan mereka ketika menghadapi kezaliman serta penganiayaan
daripada musuh-musuh Allah. 4. Mujahadah melawan
nafsu Antara
faktor yang dapat membantu kita untuk mencapai sikap istiqamah ialah
mujahadah iaitu mengarahkan hati untuk berjuang melawan runtunan nafsu
yang merangsang ke arah kejahatan. Di samping itu, keinginan nafsu
serta kehendak-kehendak duniawi wajarlah dibimbing sehingga ia mejurus
ke arah kebaikan dan keikhlasan, kerana Allah Subhanahu Wata''ala
semata-mata. Memang tidak dapat dinafikan mujahadah melawan
hawa nafsu
itu tidak mudah, ia adalah suatu yang mencabar dan perlu ditempuhi bagi
mereka inginkan jalan akhirat. Segala kesulitan dalam bermujahadah
melawan hawa nafsu adalah ujian yang perlu ditangani dengan
bersungguh-sungguh dan sabar serta tawakal kepada Allah Subhanahu
Wata''ala. 5.
Doa memohon pertolongan Allah Umat
Islam perlu berdoa memohon pertolongan Allah Subhanahu Wataala dalam
apa jua urusan hidup, sama ada di saat senang mahupun di waktu ditimpa
kesusahan. Doa adalah senjata bagi orang mukmin dan dalam hal ini ulama
hadis, Al-Imam As-Syaukani menyatakan bahawa doa merupakan darjat
ibadah paling tinggi dan mulia. Justeru itu, umat Islam perlu
menggunakan senjata rohaniah ini untuk memohon hidayah Allah supaya
segala tuntutan akapat direalisasikan secara istiqamah dan dengan
penuh rasa keikhlasan. Istiqamah merupakan keperluan asasi
dalam segenap ibadah, kerana ia adalah bukti ketaatan dan kecintaan
seorang hamba kepada Allah Subhanahu Wata''ala. Meskipun ibadah yang
kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi jika dilaksanakan secara
istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding yang besar,
tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah.Wassalam.
Ulasan lain tentang Istiqamah dalam beribadah