Bayangkan abang kesayangan anda terlibat
di dalam satu konspirasi kerajaan yang membawa kepada hukum bunuh
dan anda seorang sahaja yang mampu menyelamatkannya. Inilah yang dihadapi oleh Michael Scofield, watak utama dalam sebuah drama bersiri "Prison Break". Drama yang sedang popular sekarang
Ini juga dilabelkan sebagai sebuah drama yang mempunyai unsur cemas, aksi dan misteri. Jangan tertipu dengan tajuk drama ini. Tajuk yang begitu mudah, bagaimanapun mempunyai jalan cerita yang sangat menarik, penuh dengan kejutan, babak-babak menguji minda, dan dihiasi oleh watak-watak menarik yang pasti akan membuat anda tidak senang duduk apabila menyaksikan drama ini. Perlu diingatkan, babak dan watak di dalam cerita ini adalah sungguh berbeza dengan apa yang anda pernah lihat sebelum ini di kaca tv.
Sudah pastinya saya tidak memperbesar-besarkan drama ini tanpa alasan yang kukuh. Namun, ia ternyata sesuatu yang hebat. Pada mulanya saya sangkakan ia hanya drama berkaitan dengan penjara yang biasa dilihat di kaca tv sebelum ini. Namun, ia juga juga melibatkan Presiden Amerika Syarikat! Drama ini turut melibatkan pembunuhan secara terancang, samada penjenayah, polis, agen kerajaan ataupun mereka yang tidak bersalah! Saya ternyata silap! Prison Break tidak sama dengan drama-drama yang lain!
Saya tidak dapat menganalisis kesemua plot kerana slot
musim ketiga baru sahaja bermula. Terdapat 22 episod musim pertama dan 22 lagi musim kedua. Terdapat banyak watak, kejadian-kejadian luar jangkaan, dan juga plot-plot menguji minda. Jika saya mahu menerangkannya dengan lengkap, lebih baik saya tulis novel sahaja. Oleh itu, saya buat ringkasan musim pertama dan kedua sahaja.
Di dalam musim yang pertama, ia berlatarbelakangkan
penjara Fox River (Fox River Penitentiary), di Chicago, Illinois, USA. Seorang lelaki, Lincoln Burrows, dituduh membunuh Timbalan Presiden (Abang kepada Caroline Reynold), ditahan di penjara Fox River, dan dijadualkan menghadapi hukum bunuh melalui hukuman kerusi elektrik! Tanpa dikatahui ramai, adik kepada Lincoln Burrrows, iaitu Michael Scofield, seorang jurutera awam (struktur) pernah terlibat di dalam pasukan merekabentuk penjara Fox River tersebut. Scofield merupakan seorang yang genius, berperwatakan botak, membuat perancangan rapi dan rumit untuk membebaskan abangnya. Scofield membuat keputusan menempatkan lakaran struktur binaan kejuruteraan penjara Fox River di badannya menggunakan tatu yang tidak difahami orang lain. Lakaran yang dipenuhi oleh kod-kod rahsia dan tersusun secara matematik itu, akan membantunya mencari jalan keluar daripada penjara tersebut. Namun, perkara yang paling penting Scofield perlu lakukan adalah masuk ke dalam penjara tersebut secara sengaja! Anda pasti kagum melihat keupayaan Scofield menggunakan unsur-unsur kejuruteraan dalam menyelesaikan masalahnya! Sepanjang usaha melepaskan diri bersama abangnya, Scofield terpaksa memanipulasikan 6 penjenayah demi mencapai matlamatnya. Di akhir musim pertama,disebabkan otak geliga Scofield, mereka berjaya melepaskan diri dari Fox River!
Dalam musim kedua, mereka semua menjadi penjenayah yang paling dihendaki di Amerika Syarikat, yang juga digelar "The Fox River Eight". Tema musim kedua ini lebih menekan kepada kisah pemburuan pelarian dari penjara di dalam permainan "anjing dan kucing". Terdapat watak utama yang tertangkap kembali dan juga yang terbunuh. Pada awal musim kedua ini,
mereka masing-masing berusaha mencari duit tunai sebanyak 5 juta dolar yang telah disembunyikan oleh D.B. Cooper (Juga dikenali sebagai Charles Westmoreland ) di sebuah kawasan bandar terpencil di Utah sebelum beliau dipenjarakan di Fox River. (Maklumat duit itu diperolehi oleh Scofield daripada Westmoreland sendiri ketika di musim pertama). Namun, bukan mereka sahaja yang memburu wang itu. Bekas pegawai penjara pada musim pertama juga turut mengetahui rancangan mereka dan turut mencari wang tersebutdi samping mengejar wang ganjaran untuk menangkap penjenyah berlapan itu. Musim kedua juga mendedahkan lebih banyak kisah penjahat utama dalam drama ini iaitu "The Company". Sebuah badan korperat rahsia yang berpengaruh dan turut menguasai kerajaan USA dan presidennya. Mereka akan buat apa sahaja kekejaman demi menghalang rahsia konspirasi mereka diketahui orang awam, termasuk membunuh Scofield dan abangnya atau sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan adik beradik ini.
Saya cadangkan anda tonton kesemua episod drama Prison Break ini. Ia mempunyai campuran unsur-unsur menarik yang sempurna, daripada adegan penuh aksi kepada kisah cinta. Anda pasti tersentuh dengan nilai-nilai moral yang turut diselitkan di dalam setiap episod Prison Break, termasuk betapa pentingnya Keluarga di dalam kehidupan seharian. Oleh itu, jangan lepaskan peluang ini, saksikanlah Prison Break!
Ulasan lain tentang Prison Break