MENCARI KEKHUSYUKAN
KHUSYUK ialah rasa-rasa di hati terhadap Allah SWT termasuk rasa Allah itu Maha Hebat, Maha Agung,
Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Gagah, Maha Penyantun, Maha Lemah-lembut, Maha Pemurah, Maha Pemaaf dan sebagainya.
Khusyuk juga termasuk merasa malu, hina, berdosa, lemah, dhoif dan bergantung harap kepada Allah SWT. "
Dalam hidup ini, kita tidak akan terlepas dari ujian sama ada ujian nikmat.
Firman Allah di dalam sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud:
“Kalau Kami uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur. Dan kalau Kami uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan carilah Tuhan yang lain selain Aku.”
Umumnya, manusia tidak suka dengan ujian kesusahan kerana mereka tidak suka kepada penderitaan. Tetapi bagi orang-orang yang hampir dengan Allah atau orang-orang “muqarrabin”, mereka takut dengan ujian nikmat dan kesenangan kerana ia melalaikan. Ia boleh menggelapkan hati.
Mereka lebih senang dengan ujian kesusahan kerana dengan demikian mereka lebih mudah menginsafi diri, memperbaiki diri dan menghampirkan diri dengan Tuhan. Bila dalam kesusahan, hati mereka lebih sensitif dan mereka lebih banyak dapat mengingat Tuhan. Ujian kesusahan juga dapat mendidik mereka menjadi sabar, tawakal dan bergantung harap dengan Tuhan. Ujian kesusahan dapat menghapuskan dosa-dosa mereka dan dapat meningkatkan darjat mereka di Akhirat.
Tidak hairanlah mengapa para Sahabat sangat mudah bersabar dengan ujian-ujian kesusahan, sakit, kekurangan makanan, ditipu, dimaki hamun, disusahkan, dicaci, dihina dan dikhianati. Kesemuanya mereka terima dengan penuh sabar dan insaf. Mereka bersyukur kerana berlakunya perkara-perkara itu pada diri mereka sebab untungnya besar. Malahan, kalau ada orang yang berbuat jahat pada mereka, mereka balas dengan kebaikan. Kadang-kadang mereka memberi hadiah kepada orang tersebut tanda berterima kasih.
Mereka mampu menghayati firman Allah yang bermaksud:
“Berbuat baiklah kepada orang yang berbuat jahat kepada kamu.”
Sebab itu juga, di zaman Sahabat, maki hamun, cacian, penghinaan, penipuan, disusahkan, dikhianati dan sebagainya yang berlaku, jarang mencetuskan pergaduhan dan perbalahan kerana pihak yang dizalimi sentiasa merasakan ia satu rahmat yang menguntungkan.
Itu jugalah sebabnya, di dalam sesebuah masyarakat bagaimana baik pun masyarakat itu, Allah tetap akan adakan kejadian dan hal-hal yang sedemikian untuk membuka ruang yang seluas-luasnya bagi manusia bermujahadah, bersabar, meminta dan memberi maaf.
Di antara bersyukur dan bersabar pula, bersyukur lebih berat untuk dilaksanakan. Dalam bersabar, kita hanya perlu menahan perasaan dan menyerah diri kepada Allah. Tetapi di dalam bersyukur, kita terpaksa bekerja keras untuk mengorbankan segala nikmat yang kita perolehi ke jalan Allah. Itulah hakikat bersyukur yang sebenarnya.
Namun demikian, sabar menerima ujian kesusahan itu ada tahap-tahapnya seperti mana yang berlaku pada Rabiatul Adawiyah dalam sejarah hidupnya. Pada suatu hari, Rabiatul Adawiyah jatuh sakit. Beliau diziarahi oleh Hasan Al Basri, Zunnun dan Malik bin Dinar.
Berkata Hasan Al Basri kepada Rabiatul Adawiyah: “Ini ujian dari Tuhan, maka hendaklah kamu bersabar.”
Maka jawab Rabiatul Adawiyah: “Ada yang lebih baik dari bersabar.”
Berkata pula Zunnun: “Ini ujian Tuhan. Maka hendaklah kamu redha.”
Rabiatul Adawiyah menjawab: “Ada yang lebih baik dari redha.”
Malik bin Dinar pula berkata: “Sakit ini sebenarnya adalah hadiah Allah kepada kamu. Maka hendaklah kamu bersyukur.”
Jawab Rabiatul Adawiyah: “Ada yang lebih baik dari bersyukur.”
Maka bertanya Malik bin Dinar: “Kalau sabar tidak memadai, redha tidak memadai dan syukur pun tidak memadai, apakah sebenarnya yang engkau rasakan?”
Rabiatul Adawiyah menjawab: “Sebenarnya aku sudah lupakan kesusahan yang Allah timpakan terhadap diriku ini.”
Melupakan segala ujian dan kesusahan yang Allah timpakan kepada kita dan mengingat-ingat segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, juga melupakan segala ibadah dan kebaikan kita kepada Allah dan mengingat-ingat dan mengenang-ngenangkan segala dosa dan kejahatan kita kepada Allah termasuk dalam jalan kebenaran.
Perkara yang lebih penting ialah bersyukur dan bersabar kerana itulah untungnya dalam kita menghadapi kesenangan dan kesusahan. Maqam sabar pula boleh ditingkatkan kepada maqam redha, syukur dan lupa.
Namun ada seperkara lagi yang patut kita usahakan di dalam kita menerima ujian sama ada ujian nikmat atau ujian kesusahan iaitu khusyuk. Khusyuk ialah rasa-rasa di hati terhadap Allah SWT termasuk rasa Allah itu Maha Hebat, Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Gagah, Maha Penyantun, Maha Lemah-lembut, Maha Pemurah, Maha Pemaaf dan sebagainya. Khusyuk juga termasuk merasa malu, hina, berdosa, lemah, dhoif dan bergantung harap kepada Allah SWT.
Apabila kita menerima nikmat Allah, contohnya kita dijamu makan minum yang banyak dan lazat, maka hendaklah kita berfikir dan bertafakur. Dengan amalan kita yang sedikit dan dosa kita yang begitu banyak, Allah bagi juga kita merasa makanan yang banyak dan lazat yang kita tidak layak menerimanya. Akan timbul rasa malu dengan Allah di hati kita dalam menerima nikmat-Nya itu. Maka rasa malu inilah khusyuk.
Kalau kita diuji dengan kesusahan pula, contohnya
kereta yang kita pandu remuk dan rosak terlanggar pokok, maka hendaklah kita berfikir dan bertafakur. Ini kecil. Bukan setakat kereta rosak dan remuk tapi Allah boleh buat lebih dari itu dan tidak ada siapa pun yang mampu menolak-Nya. Allah boleh matikan kita kalau Dia mahu. Maka akan timbul rasa takut, gerun, cemas dan bimbang dalam hati kita. Maka itulah khusyuk iaitu makanan bagi roh dan jiwa kita.