ANAK PATUNG
YANG BERNYAWA. Mollie mempunyai
ANAK patung yang comel yang dinamakan Angela. Mollie terlalu sayangkan anak
patungnya dan selalu mengimpikan yang anak patungnya Angela boleh berjalan dan bercakap seperti manusia biasa. Satu hari, Mollie pergi ke hutan yang didiami oleh
orang halus. Mollie membawa Angela bersamanya. Di hutan
itu Mollie terjumpa sebuah kereta tolak yang sama saiznya dengan anak patungnya. Mollie agak hairan dengan penemuan kereta tolak yang kecil itu. Dia meletakkan Angela ke dalam kereta tolak itu dan menolak anak patungnya di dalam hutan itu. Sedang dia berjalan di dalam hutan itu sambil menolak kereta tolak itu, tiba-tiba Mollie terdengar bunyi arnab dan mula mencari binatang tersebut. Kereta tolak yang mengandungi anak patungnya Angela ditinggalkannya. Dalam kesibukan Mollie mencari arnab, kereta tolak itu bergerak sendiri dan hilang dari pandangan Mollie. Mollie mulai menangis kerana sedih dengan kehilangan anak patungnya. Tiba-tiba datang seorang orang
halus meminta Mollie untuk tidak membasahi pintunya dengan tangisan Mollie. Mollie terkejut melihat seorang makluk yang lebih kecil darinya. Bila orang halus itu mengetahui sebab Mollie menangis, dia membawa Mollie menemui Ibu Dimity yang tinggal di dalam sebuah kasut. Ibu Dimity telah mengambil Angela, anak patung Mollie. Mollie mengetuk sebatang pokok jati yang besar sebanyak enam kali seperti yang diingatkan oleh orang halus itu. Apabila enam kali Mollie mengetuk pohon jati itu, satu ruang terbuka dan Mollie mendapati ada tangga menghala ke akar pohon jati itu. Mollie menuruni tangga tersebut dan dia mendapati ada jalan besar dengan rumah yang banyak dan nama-nama rumah yang pelik. Seorang orang halus tiba-tiba muncul dari salah satu rumah tersebut dan apabila Mollie bertanya arah ke rumah Ibu Dimity, orang halus itu menunjukkan arah jalan yang agak pelik. Mollie berjalan hingga dia tiba di tebing sebuah sungai. Seekor arnab yang bertali leher memberikan Mollie sekeping tiket. Mollie memilih sebuah perahu bewarna biru dengan bintang keemasan. Perahu itu bergerak tanpa pendayung. Dalam perjalanannya, Mollie terlihat seorang datuk tua sedang menanam cendawan besar dan dia meminta perahu itu untuk berhenti. Dari datuk tua itu, Mollie mendapat tahu yang rumah kasut Ibu Dimity terletak di atas bukit. Tanpa berlengah lagi, Mollie terus ke rumah Ibu Dimity. Sesampainya di sana, anak-anak orang halus itu memberitahu Mollie tentang anak patungnya Angela. Kata anak-anak orang halus itu, anak patungnya adalah anak kecil yang sakit serta tidak boleh berjalan dan bercakap. Ibu Dimity telah memberikan ubat yang membolehkan Angela berjalan dan bercakap. Mollie kemudiannya pulang ke rumahnya dengan mengikut jalan singkat yang diberikan oleh Ibu Dimity. Di rumah Mollie, tidak ada sesiapa pun kecuali Mollie yang tahu bahawa anak patungnya boleh berjalan dan bergerak. Mollie tahu tidak ada sesiapa pun yang akan mempercayainya kalau dia memberitahu mereka bahawa anak patungnya hidup dan bernyawa. ATON ISMAIL
Ulasan lain tentang Anak Patung yang Bernyawa