Rerumah Shvoong > Wayang > Rencana > magavau

.

magavau

Summary rating: 4 stars 21 Ulasan
Pengarang : nanakboy88
Review by : nanakboy
Lawatan : 166  Perkataan: 900   Diterbitkan pada: Mac 24, 2008
 
Setiap tahun, masyarakat di negeri Sabah merayakan Pesta Kaamatan pada sepanjang bulan Mei. Perayaan ini disambut untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Namun di sebalik perayaan di kalangan masyarakat Kadazan/Dusun, terdapat semangat padi yang dipanggil Bambazoon atau Bambarayon.
 
            Masyarakat Kadazan/Dusun percaya mereka mempunyai Tuhan bernama Kinoingan yang mempunyai isteri bernama Suminundu dan seorang anak perempuan bernama Huminodun. Kinoingan mencipta dunia dan segala isinya sama ada benda bernyawa atau yang tidak bernyawa.
 
            Pada suatu ketika, Masyarakat Kadazan/Dusun hampir kebuluran kerana mengalami bencana ketiadaan sumber makanan. Dengan perasaan belas kasihan, Kinoingan dengan rela hati mengorbankan anaknya, Huminodun untuk dijadikan makanan. Mereka telah membunuh Huminodun dan mayatnya dikebumikan.
 
            Daripada jasad Huminodun yang dikebumikan, tumbuh pelbagai jenis tumbuhan, termasuk padi yang merupakan makanan ruji masyarakat Kadazan/Dusun dan juga kaum yang lain di negeri ini. Oleh kerana padi dipercayai berasal daripada jasad manusia, maka itulah sebabnya padi dikatakan mempunyai semangat disebut Bambaazon.
 
            Sebagai tanda kesyukuran dan menghormati Bambaazon, masyarakat Kadazan/Dusun bersumpah dengan Kinoingan bahawa mereka akan sentiasa mengenang pengorbanan Huminodun dengan mengadakan upacara penghormatan semangat padi iaitu Magavau. Upacara ini dilakukan oleh seorang bomoh wanita yang dipanggil Bobohizan, menjadiOrang Perantaraanuntuk berhubung dengan semangat padi dan juga dengan makhluk halus yang lain. Bahasa perhubungan ini menggunakan bahasa Kadazan/Dusun kuno.
 
            Terdapat beberapa peringkat dalam upacara Magavau. Sebelum upacara Magavau, terlebih dahulu Upacara Kumogos dijalankan apabila padi telah menguning dan sedia untuk dituai. Bobohizan akan turun ke sawah untuk memilih dan mengikat tujuh tangkai padi yang terbaik dan membiarkan tanpa dituai sehingga selesai menuai padi. Tujuh tangkai padi ini yang menjadi lambang kepada Bambaazon hanya boleh dituai setelah hasil padi lain telah selesai dituai dan dimasukkan ke dalam tempat penyimpanan padi yang dikenali sebagai Tangkob.
 
            Seterusnya Bombohizan akan memotong tujuh tangkai padi yang lain dengan menyelerakkannya di sekeliling sawah untuk memberitahu semangat yang lain bahawa mereka juga mendapat bahagian dan tidak mengganggu kerja penuaian. Selepas itu, Bobohizan menjalankan upacara Kumotob  iaitu memilih tujuh tangkai padi yang lain daripada serumpun padi yang diikat untuk dituai dan dijadikan benih pada penanaman padi musim akan datang.
 
            Bobohizan akan menuju ke rumah padi untuk menjalankan upacara Poposisip. Di dalam rumah padi sambil membaca mantera, Bobohizan  mengeluarkan ikatan padi dari Tadang dan disisipkan di atas sebatang buluh yang terdapat di  Tangkob. Mantera dibaca untuk memohon agar Bambaazon tinggal di rumah padi hingga musim menanam yang seterusnya tiba dan Bambazon tersebut dipohon turun semula ke sawah.
 
            Selesai Upacara Poposisip, para petani bolehlah menuai padi masing-masing hingga selesai. Apabila padi yang telah dituai mahu disimpan di dalam Tangkob, upacara Popoiib dijalankan. Bobohizan mengaut padi menggunakan nyiru dan membubuh padi ke dalam Tangkob. Mantera dibacakan untuk memohon Bombaazon menjaga padi dengan baik di dalam Tangkob.
 
            Upacara Magavau akan bermula sebaik sahaja Bambaazon telah dinaikkan ke dalam rumah padi. Upacara bermula apabila matahari terbenam. Bobohizan dan pembantunya akan duduk di lantai dalam sebuah bilik khas yang dikenali sebagai Hintuun. Bobohizan akan berdoa kepada Bambaazon disertai nyanyian pemujaan yang mengambil masa lebih kurang dua jam. Selesai upacara berdoa kepada Bambaazon, mereka akan berdiri serentak dan membuat bulatan di sekeliling Hintuun. Mereka meneruskan upacara berdoa disertai nyanyian klasik pujian beramai-ramai ditujukan kepada Bambaazon.
 
            Bobohizan akan terus menyanyi sambil menari dengan menghentak-hentakkan kakinya sehingga menjelang tengah malam. Hadirin akan turut serta dan membentuk bulatan dan diketuai oleh Bobohizan. Sambil menyanyi dan menari, bunyi “Pangkis” akan dibuat oleh kaum lelaki untuk menandakan kejayaan kaum Kadazan/Dusun.
 
            Upacara ini akan diteruskan sehingga persiapan seperti Hinabatan atau menyediakan nasi tapai untuk diberi makan kepada Bambaazon telah siap. Bambaazon akan dijamu dengan nasi dan dua cawan tapai, telur, garam, dan ayam. Bambaazon akan tinggal di rumah padi untuk menjaga padi dalam Tangkob. Upacara Magavau diakhiri dengan menjamu tetamu dengan makanan dan air tapai.
 
            Upacara Magavau disusuli dengan upacara keramaian atau Humabat dan upacara keriangan atau Monogit. Dalam upacara ini tarian-tarian tradisional masyarakat Kadazan/Dusun akan dipersembahkan dengan diiringi minuman tradisi seperti tapai, bahar dan lihing. Antara tarian yang dipersembahkan ialah tarian Sumazau, Mogigol dan Sumayau.
 
            Walau bagaimanapun, pada masa sekarang pesta Kaamatan telah banyak ditokok tambah. Salah satu yang terlalu sinonim dengan pesta Kaamatan ialah Unduk Ngadau iaitu pertandingan ratu cantik. Unduk Ngadau disimbolkan sebagai Huminodun yang telah dikorbankan untuk menjadi makanan masyarakat Kadazan/Dusun.
 
            Pesta Kaamatan pada masa sekarang merupakan tanda kesyukuran kepada tuhan dan juga untuk menyatupadukan rakyat majmuk di Sabah. Namun malang sekali, upacara Magavau tidak lagi menjadi upacara penting, tetapi hanya sebagai pertunjukan biasa. Oleh itu, masyarakat Kadazan/Dusun harus memelihara upacara ini agar tidak pupus oleh perubahan zaman

Ulasan lain tentang magavau
magavau  oleh  nanakboy88    2008 
Sila Nilai abstrak ini : 1 2 3 4 5


Read Free Summaries - Write and Get Paid

Summarize Human Knowledge on Shvoong. Join us!

------

Recent Shvoongers

  • aduka
  • Buwau
  • Kimimaro
  • notarazi
  • Pitung78
  • Haqiem
  • ChangWai
  • kyra_in
  • nasriano
  • kwenzc
  • fizsolution
  • ijass
  • Jaymez
  • b00TunK
  • BabyReptilia
  • beloved

.