Cerita ini mengisahkan seorang balu yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Jack, yang suka memberontak dan menghabiskan
duitnya. Oleh kerana Jack tidak mempunyai sesen wang, beliau mempengaruhi ibunya untuk menjual seekor lembu kepunyaan mereka. Pada mulanya, ibunya tidak bersetuju. Setelah dipujuk, ibunya bersetuju menjualkan lembu tersebut. Dalam perjalanan, Jack terjumpa dengan seorang lelaki yang menawarkan beberapa benih kekacang istimewa, menggantikan lembunya. Jack menerima tawaran tersebut dan pulang dengan perasaan gembira. Apabila ibunya mendapat tahu mengenai pertukaran tersebut, ibunya amat marah dan membuang benih tersebut ke luar tingkap. Memandangkan mereka tidak mempunyai apa-apa untuk makan, kedua-dua beranak itu terus tidur dalam keadaan lapar. Keesokan harinya, Jack menjumpai sebatang pokok kekacang yang amat tinggi sehingga mencecah langit dan yang mempunyai dahan yang besar dan berbelit. Lalu, Jack memanjat pokok tersebut. Dia mengambil beberapa jam sebelum tiba di suatu tempat yang aneh. Di sana, beliau terjumpa dengan pari-pari. Pari-pari tersebut memberitahu Jack, disebabkan oleh kawan ayahnya yang tidak jujur pada masa dahulu, keluarga Jack telah kehilangan kesemua harta benda mereka. Pari-pari itu juga berkata, beliau tidak dapat menolong keluarga Jack pada masa itu kerana telah kehilangan kuasanya buat sementara waktu. Tetapi, beliau telah memperolehi kuasanya kembali dan telah memberikan benih kekacang tersebut kepada Jack, menggantikan lembunya. Orang yang telah mencuri harta benda daripada ayah Jack adalah seorang gergasi yang tinggal di sana. Pari-pari itu menunjukkan istana tempat tinggal gergasi tersebut dan memberitahu bahawa segala apa yang terdapat di dalam istana adalah kepunyaan Jack dan ibunya. Apabila tiba di istana, Jack meminta makanan dan juga tempat untuk berteduh daripada isteri gergasi tersebut. Tiba-tiba, kedengaran suara gergasi meminta makanannya. Lalu Jack menyuruh isterinya menyembunyikannya di dalam ketuhar. Sambil mengintai, Jack amat terkejut apabila melihat jumlah makanan yang dimakan oleh gergasi tersebut. Setelah selesai makan, gergasi meminta isterinya membawakan ayam dan Jack ternampak ayam tersebut mengeluarkan telur keemasan. Apabila gergasi tidur, Jack terus mengambil ayam tersebut dan melarikan diri ke pokok kekacang. Setibanya di rumah, Jack menunjukkan ayam tersebut kepada ibunya dan menceritakan segalanya. Ibunya amat gembira. Tidak lama kemudian, Jack kembali ke istana tersebut untuk mengambil harta lagi. Dengan menyamar dirinya, Jack meminta pertolongan sekali lagi daripada isteri gergasi. Sekali lagi, Jack ternampak gergasi yang meminta isterinya membawakan seguni wang emas. Apabila gergasi tidur, Jack mengambil guni tersebut dan melarikan diri. Setibanya di rumah, Jack memberikan wang emas kepada ibunya dan selama tiga tahun, mereka hidup aman dan damai. Tidak lama kemudian, Jack kembali ke istana dan menyamar sekali lagi. Kali ini, Jack melihat sejenis hap yang amat cantik yang dapat bermain dengan sendirinya. Apabila gergasi tidur, Jack terus mengambil hap tersebut dan melarikan diri. Oleh kerana amat gembira, hap tersebut terus menjerit memanggil tuannya. Gergasi terus sedar dan mengejar Jack. Apabila Jack tiba di rumahnya, beliau terus menebang pokok kekacang dengan sebilah kapak. Gergasi tersebut jatuh ke tanah dan mati serta-merta. Pada masa itu, pari-pari muncul dan menceritakan segalanya kepada Jack dan ibunya. Akhirnya, mereka hidup gembira dan senantiasa mempunyai wang.