http://e-komputer.info/wiki/ Sains_komputer
Summary ratings: 3 stars
(xx voters)
Lawatan:
282
Perkataan:
600
Diterbitkan pada: Ogos 24, 2007
Sains komputer ialah kajian tentang maklumat dan pengiraan,
serta pelaksanaan dan penggunaannya dalam sistem komputer. Bidang ini terdiri
daripada banyak bahagian, dengan sesetengahnya menitikberatkan pengiraan hasil
yang tertentu (umpamanya grafik komputer), manakala yang lain adalah berkait
dengan sifat masalah pengiraan (umpamanya teori kerumitan pengiraan).
Sedangkan Sistem Pengelasan Pengkomputeran ACM boleh digunakan untuk
membahagikan sains komputer kepada topik-topik yang berlainan, suatu pecahan
yang lebih deskriptif adalah seperti yang berikut:
• Asas matematik
• Teori pengiraan
• Algoritma dan struktur data
• Bahasa pengaturcaraan dan penyusun
• Sistem-sistem serentak, selari, dan teragih
• Kejuruteraan perisian
• Seni bina sistem
• Komunikasi
• Pangkalan data
• Kecerdasan buatan
• Pelukisan realistik tampak (atau grafik komputer)
• Saling tindak manusia-komputer
• Pengkomputeran saintifik
Sejarah komputer sains mendahului perekaan komputer digital
moden selama berabad-abad, dengan mesin-mesin untuk menghitung angka-angka
tetap, umpamanya sepua, berwujud sejak zaman purba. Wilhelm Schickard membina
mesin kira mekanik yang pertama pada tahun 1623, manakala Charles Babbage
mereka bentuk enjin beza pada zaman Victoria (1837 - 1901).
Apabila komputer jelas boleh digunakan bukan
sahaja untuk melakukan penghitungan matematik, bidang sains komputer diperluas
untuk mengkaji pengiraan secara am. Sains komputer mula diasaskan sebagai
suatu disiplin akademik yang tersendiri pada dekad 1960-an dengan penciptaan
jabatan-jabatan sains komputer dan program-program ijazah yang awal.
Sejak dari masa komputer yang praktik mudah didapati, banyak kegunaan
pengkomputeran telah menjadi bidang-bidang tersendiri. Edsger Dijkstra, ahli
sains komputer yang terkenal, sering dipetik sebagai berkata, "Sains
komputer bukan lagi berkenaan dengan komputer sahaja, seumpama dengan bidang
astronomi yang bukan sahaja mengenai teleskop."
Perekaan bentuk dan penggunaan komputer serta sistem komputer umumnya
dianggap sebagai disiplin-disiplin tersendiri, selain daripada merupakan
sebahagian bidang sains komputer. Misalnya, kajian perkakasan komputer biasanya
dianggap sebagai sebahagian kejuruteraan komputer, manakala kajian sistem
komputer komersil dan penggunaannya seringnya dipanggil teknologi maklumat atau
sistem maklumat.
Sains komputer seringnya dikritik sebagai tidak cukup saintifik,
suatu pandangan yang didukung oleh Stan Kelly-Bootle yang berkata:
"Sains adalah kepada sains komputer, sebagaimana dengan hidrodinamik
kepada pemasangan paip."
Sesetengah orang menganggap sains komputer sebagai mempunyai hubungan
yang lebih rapat dengan matematik, berbanding dengan banyak disiplin
saintifik yang lain. Sains komputer yang awal amat dipengaruhi oleh karya-karya
ahli matematik seperti Kurt Gödel dan Alan Turing, dan kini masih
terdapat pertukaran idea antara kedua-dua disiplin tersebut dalam bidang-bidang
seperti logik matematik, teori kategori, teori domain, dan algebra.
Dengan mencontohi hubungan antara disipin-disiplin kejuruteraan dan
sains yang lain, David Parnas mendesak bahawa tumpuan utama sains komputer
ialah kajian tentang sifat-sifat pengiraan secara am, manakala tumpuan utama
kejuruteraan perisian ialah perekaan bentuk pengiraan yang khusus untuk
mencapai matlamat-matlamat yang praktik dan dengan itu, menyebabkan dua
disiplin yang berasingan tetapi masih saling melengkapi.
Sesetengah universiti mengajar sains
komputer sebagai suatu kajian teori tentang pengiraan dan pemikiran
algoritma, dengan pengaturcaraan komputer diajar hanya untuk mendukung
bidang-bidang komputer sains yang lain. Sebaliknya, kolej-kolej dan
universiti-universiti yang lain, serta juga sekolah menengah dan program
vokasional yang mengajar sains komputer, menitikberatkan amalan pengaturcaraan
komputer lanjutan (bukannya teori algoritma dan pengiraan) dalam kurikulum
sains komputer mereka.