Dadah Depresan Sistem Saraf Pusat: Sedatif/ Hipnotik
Summary rating: 2 stars
12 Ulasan
Lawatan
:
734
Perkataan:
900
Diterbitkan pada: September 30, 2007
DADAH DEPRESAN SISTEM SARAF PUSAT: SEDATIF/HIPNOTIKDADAH DEPRESAN SISTEM
SARAF PUSAT: SEDATIF/HIPNOTIK
KUMPULAN DADAH depresan(penekan) sistem saraf pusat merupakan sekumpulan
dadah yang bertindak terhadap sistem otak sehingga membuatkan seseorang
itu tidak sedarkan diri secara berlebihan. Umumnya, ia boleh dibahagikan
kepada empat kumpulan utama iaitu kumpulan anestesia umum, kumpulan
alkohol alifatik (seperti arak), kumpulan dadah penahan sakit narkotik,
dan kumpulan dadah sedatif/hipnotik. Antara empat kumpulan ini, kumpulan
dadah penahan sakit narkotik dan kumpulan dadah sedatif/hipnotik adalah
dadah penekan sistem saraf pusat yang seringkali disalahgunakan. Fokus
artikel bulan ini adalah terhadap kumpulan dadah sedatif/hipnotik ini.
DEFINISI DADAH DEPRESAN SEDATIF/HIPNOTIK DAN JENIS-JENISNYA
Menurut definisinya, dadah SEDATIF berupaya mengurangkan tahap aktiviti
mental seseorang itu di samping mempunyai kesan menenangkan fikiran. Dadah
jenis hipnotik pula boleh membuatkan seseorang itu rasa mengantuk. Ia
dapat mendorong seseorang itu tidur dengan lebih mudah dan berterusan.
Dadah dalam kumpulan sedatif/hipnotik ini terdiri daripada beberapa jenis;
antaranya termasuklah kumpulan barbiturat, kumpulan benzodiazepin, dan
yang lain-lainnya seperti kloral hidrat, glutetimid, metakualon, serta
meprobamat.
BAHAYA MENGAMBIL BERLEBIHAN
Dadah kumpulan ini sebenarnya amat berguna bagi mengurangkan rasa resah,
panas baran, ketegangan jiwa, dan insomnia (keadaan susah tidur). Dalam
sesetengan keadaan, ia mungkin mengkhayalkan. Walau bagaimanapun, jika
dimakan dengan banyak, pertimbangan seseorang akan terjejas, koordinasi
pergerakan badan akan hilang, dan pertuturan terganggu menjadikan sebutan
tidak jelas. Perimbangan dan koordinasi pergerakan badan yang terganggu
merupakan punca utama kemalanganjalan raya di kalangan penggunanya. Dalam
kes bunuh diri, keadaan menjadi lebih serius; seseorang itu boleh
mengalami koma, disusuli dengan kulit yang sejuk, nadi yang lemah dan
pantas, serta pernafasan yang mungkin menjadi perlahan atau pantas tetapi
pendek. Apabila kadar pernafasan menjadi terlalu perlahan dan tekanan
darah menjadi terlalu rendah, mangsa sudah menghampiri maut terutamanya
jika keadaan ini tidak dapat dikawal dengan baik.
SALAH GUNA DAN BAHAYANYA
Dadah-dadah depresan ini juga didapati telah disalahgunakan secara meluas.
Keadaan ini berlaku apabila dadah depresan ini digunakan di kalangan
penagih dadah perangsang bagi meredakan pemikiran yang kusut, melenyapkan
keresahan daripada "ingatan-ingatan" yang menghantui penagih halusinogen,
atau untuk mempermudahkan langkah penghentian pengambilan heroin. Dalam
keadaan begini, dadah-dadah depresan ini akan digunakan untuk jangka masa
yang panjang sehinggalah masalah yang berkaitan dengan penggunaan dadah
depresan pula timbul. Ini termasuklah masalah tolerans serta pergantungan
fizikal dan psikologi. Tolerans akan berlaku dengan cepat. Pengguna perlu
mengambil dadah ini dalam jumlah yang lebih besar untuk mendapatkan kesan
yang sama. Keadaan ini sebenarnya tidak disedari sehinggalah pengguna
mengalami kebingungan yang berulang atau hilang upaya untuk melakukan
kerja-kerja harian. Dengan bertambahnya jumlah dadah yang dimakan, mungkin
sebanyak 10 hingga 20 kali ganda daripada jumlah biasa, pengguna
sebenarnya mendekatkan diri kepada bahaya besar dan maut. Dalam keadaan
ini, pergantungan fizikal dan psikologi amat ketara. Menghentikan
pengambilan dadah depresan ini juga akan memberikan kesan buruk.
Pada tahap ini, penghentian atau pengurangan pengambilan dadah depresan
secara mengejut boleh mengakibatkan sindrom terputus bekalan dengan
ciri-ciri tertentu. Ini merupakan satu kecemasan perubahan yang lebih
serius. Langkah-langkah detoksifikasi yang baik dapat memulihkan keadaan
pesakit. Namun begitu, dalam masa 24 jam pertama gejala terputus bekalan
minor seperti keresahan dan agitasi, hilang selera makan, rasa mual dan
muntah, senak perut, denyutan jantung pantas, berpeluh-peluh, serta
anggota badan yang mengeletar akan dialami. Bagi dadah kumpulan barbiturat
dan meprobamat, gejala ini akan memuncak pada hari kedua dan ketiga dadah
dihentikan. Bagi dadah depresan yang mempunyai masa tindakan yang panjang
seperti yang berlaku pada sesetengah jenis barbiturat dan benzodiazepin,
gejala-gejala terputus memuncak pada hari ketujuh atau kelapan setelah
dadah dihentikan. Pada masa ini, pengguna mungkin mengalami sawan dan
dalam setengah kes turut meracau. Tidak kurang juga yang akan mengalami
gangguan psikosis menyerupai delirium tremens, iaitu satu komplikasi yang
berat bagi penagih alkohol. Memandangkan betapa seriusnya keadaan ini,
langkah-langkah detoksifikasi dan rawatan lanjut perlu dijalankan di bawah
pengawasan seorang doktor. Kaedah rawatan mungkin berbeza di antara
jenis-jenis dadah depresan ini tetapi kesemuanya mempunyai matlamat yang
sama iaitu pengukuhan keadaan pergantungan pada dadah untuk mengurangkan
simptom penarikan; diikuti dengan penghentian secara beransur-ansur untuk
mengelakkan pengulangan.
MAKLUMAT LANJUT TENTANG DADAH-DADAH DEPRESAN TERTENTU
Abstrak lain tentang Dadah Depresan Sistem Saraf Pusat: Sedatif/ Hipnotik