BAND indie Estranged mengungguli 8 pencalonan bagi 6 kategori dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 yang bakal berlangsung
di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 Mei depan pukul 8.30 malam.
Estranged dianggotai oleh empat anak muda iaitu Richael Lawrence Gimbang atau Rich, (vokal), Solihuddin Hormat (bass), Nor Hanafi (gitar utama) dan Azwin Andy Malik (dram). Rich adalah antara peserta yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 yang dimenangi oleh Mawi.
Menerusi album ‘Remain Unknown’, Estranged tercalon bagi kategori Kulit Album Terbaik (Pereka Vignes Balasingam), Rakaman Album Terbaik (Jururakam JD Wong), Lagu Rock Terbaik (Aurora dan Yang Pernah), Album Inggeris Tempatan Terbaik (Produser Estranged dan JD Wong), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Dances of The Spirit dan In No Time) dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Aurora).