Agama Labus adalah satu agama purba Borneo yang diasaskan sejak zaman Bobolizan Aki Gomburon dan menjadi mengalami pembaharuan pada zaman Bobolizan Aki Guraumanuk. Agama Labus adalah berasal dari bahasa Momogun Rungus. Agama Labus terdiri dari dua perkataan dua perkataan iaitu:
- AGAMA
- "A" - merujuk kepada "boleh" atau "dibenarkan"
- "Gama" - merujuk kepada "buat atau lakukan"
- LABUS – bermakna "keluar". "di luar" atau "lepas"
Dengan itu Agama Labus membawa maksud "satu set hukum-hukum Momogun Rungus yang boleh atau di benarkan untuk dilakukan bagi melepaskan bangsa Momogun Rungus dari hukuman, laknat, sumpahan atau murka dari Kinoringan (Tuhan Momogun Rungus)."
Menurut Bobolizan Gomburon dan Guraumanuk, manusia ini pada asalnya adalah dewa (Rumandavi). Setelah berlaku hasutan oleh Rogon (Iblis) iaitu anak Kinoringan Mamangun sendiri, manusia yang ketika itu adalah dewa telah ikut serta merebut takhta kekuasaan Kinoringan. Maka akhirnya Pogunon Tavanus (Syurga) telah huru hara dan Kinoringan mengalahkan Rogon dan Pengikut-pengikutnya. Kinoringan menjatuhkan hukuman kepada pengikut-pengikutnya. Manusia yang termakan kata-kata Rogon yang pada asalnya dipanggil sebagai Rumandavi (dewa) kini dipanggil Riniba. Riniba diambil dari kata ‘SIBA’ bermaksud "RENDAH". Riniba bermakna "makhluk ciptaan Kinoringan Mamangun yang telah direndahkan statusnya". Riniba akhirnya tidak layak lagi tinggal di Pogunon Tavanus kerana sudah jatuh dalam dosa. Maka menurut kepercayaan Agama Labus itu manusia di hantar ke Pogun Riniba (bumi). "Pogun Riniba" bermakna "sebuah tempat yang sudah usang dan terbiar". Sejak dari itu Riniba telah begitu jauh hubungannya dengan Kinoringan.
Riniba (manusia) mempunyai pelbagai cara untuk mencari Kinoringan dan bagi Momogun Rungus, bangsa mereka menemukan Agama Labus sebagai satu susunan hukum-hukum untuk berkomunikasi dengan Kinoringan. Agama itu mempunyai cirinya yang tersendiri. Untuk mengelakkan kutukan dari Kinoringan wujudlah agama Labus yang diturunkan kepada Bobolizan Gomburon dan di perbaharui oleh Bobolizan Guraumanuk untuk menggantikan hukuman keras yang diwartakan oleh Bobolizan Gomburon.
Agama Labus yang diwartakan Bobolizan Guraumanuk ini menghapuskan hukuman mati seperti memasukkan pesalah yang membunuh orang ke dalam "bubu" bersama-sama batu besar lalu dibuang ke dalam laut (hukum gomburon). Melalui pembaharuan Bobolizan Aki Guraumanuk setiap kesalahan orang Momogun boleh dibayar dengan mengorbankan haiwan ternak seperti ayam (nilai ayam bergantung kepada warna hitam atau putih warna lain tidak diterima bagi beberapa jenis kesalahan), atau kesalahan besar korbankan khinzir atau kerbau. Demikianlah ajaran asas Agama Labus dalam bangsa Momogun.
Setelah pihak British menjajah kepulauan Borneo Utara, barulah agama lain wujud di kalangan masyarakat Momogun Rungus. Menurut sumber yang boleh dipercayai, agama suku kaum Rungus yang pertama dianuti ialah agama Kristian dari denominasi Protestan dan SDA. Pada masa kini, 70% dari suku kaum Rungus adalah beragama Kristian denominasi Protestan dan SDA, 20% masih mengamalkan Agama Labus dan 7% dari Kristian denominasi lain dan selebihnya beragama Islam akibat daripada perkahwinan campur .
Sehingga pada hari ini agama Labus masih diamalkan oleh sebilangan warga Momogun Rungus yang berada di kawasan pedalaman bagi menghormati semangat Lzumaag yang menjaga bangsa Momogun sejak turun-temurun.
Abstrak lain tentang Daily Express