Pinjaman kecil
atasi masalah
kemiskinan Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD
MASALAH kemiskinan
di kebanyakan
negara, termasuklah Malaysia banyak berpunca daripada cara pengagihan kekayaan
negara yang tidak sempurna
dan sistem penyaluran sumber modal yang lebih
memihak kepada golongan kaya. Mereka lebih senang memperoleh pembiayaan atau
pinjaman daripada institusi kewangan sedangkan golongan kurang berkemampuan
terus terpinggir kerana mereka biasanya berhadapan dengan pelbagai halangan
yang dikenakan oleh
pihak bank. Menurut pakar-pakar dalam bidang
pembangunan, kaedah pinjaman kecil dapat mengatasi masalah kemiskinan di
peringkat akar umbi kerana golongan miskin mendapat peluang untuk menjana pendapatan
di samping tidak membebankan pihak lain. Dua pendekatan boleh diguna pakai bagi
mewujudkan satu kerangka
wakaf yang berperanan dalam memberi pinjaman kecil
tanpa faedah (qard al-hasan) dalam keadaan yang memenuhi tuntutan syari’at. Pendekatan pertama ialah menerusi
pewujudan penjamin kecairan (guarantors of liquidity ) dan penjamin kerugian
(guarantors of losses). Kaedah ini diutarakan oleh Dr. Muhammad Anas Zarqa
menerusi cadangan beliau yang bertajuk Monetary Waqf for Micro Finance di dalam
satu simposium anjuran Harvard Law School pada April tahun lalu. Dana wakaf akan
dikumpulkan menerusi sumbangan oleh para dermawan dan juga qard al-hasan yang
dibuat oleh pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat. Beliau menggabungkan
pendekatan wakaf yang berbentuk kekal dan pendekatan qard al-hasan yang
berbentuk pinjaman untuk membentuk dana pinjaman yang bakal diberikan kepada
golongan miskin yang berdaya usaha. Dalam kerangka cadangan ini,
penjamin kecairan akan berperanan untuk menyuntik kecairan dalam bentuk
pinjaman ke dalam dana. Dalam hal ini, suntikan kecairan tadi tidak akan
digunakan untuk disalurkan sebagai pinjaman kepada golongan miskin. Akan
tetapi, ia akan digunakan bagi memenuhi keperluan pengeluaran yang mungkin
dibuat oleh pemberi qard al-hasan. Penjamin kerugian akan berperanan
untuk menampung jumlah yang gagal dibayar balik tadi kepada pengurus wakaf bagi
memastikan jumlah dana wakaf tadi tidak berkurangan atau mengalami penyusutan. Al-gharimin (mereka yang gagal
melunaskan hutang) berhak menerima agihan zakat bagi membayar balik hutang yang
gagal dijelaskan. Dalam kerangka ini, pihak Baitulmal atau Pusat Pungutan
Zakat, boleh berperanan untuk bertindak sebagai penjamin kerugian. Kaedah kedua yang dicadangkan ialah perlindungan
pinjaman menerusi perkhidmatan takaful. Dalam konteks ini, pengendali takaful
juga boleh bertindak sebagai penjamin kerugian. Di Malaysia, para pengendali takaful
ada menawarkan produk bertujuan melindungi peminjam daripada gagal membayar
balik pinjaman akibat kematian atau keilatan kekal yang dialaminya semasa
tempoh pinjaman. Kos untuk menyertai takaful tadi adalah sangat rendah dan ini
boleh dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman yang dibuat. Pelaksanaan cadangan-cadangan ini adalah
terletak di bahu setiap umat Islam yang mempunyai kuasa dan kemampuan. Mungkin pihak Jabatan Wakaf, Zakat
dan Haji, ataupun pihak Majlis Agama Islam negeri, boleh menimbang cadangan
yang diutarakan oleh pakar-pakar ekonomi ini. Apa pun kejayaan pelaksanaan
cadangan bergantung sepenuhnya kepada cara pengurusan dana wakaf itu sendiri.
* PENULIS ialah Fellow Pusat Ekonomi
dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Ulasan lain tentang Utusan Malaysia