• Daftar Diri
  • ‎Apakah Shvoong?‎
  • Daftar Masuk
    Daftar Masuk
    Ingat nama pengguna saya Terlupa kata laluan anda?

Ringkaskan Pengetahuan Manusia di Shvoong.

.

.

Utusan Malaysia

oleh : neutronboy     


FORT MARGHERITA
MATAHARI hampir ke tengah ketika Suntong leka mencari rezeki di Sungai Sarawak. Jala
ditebar ke permukaan air lalu menyerkap udang dan ikan. Suntong bertubuh sasa membongkok mengutip ikan dan udang yang sangkut pada jalanya. Jauh sudah dia berkayuh dari kampung Boyan menuju ke arah Astana. Kayuhannya lancar. Nasib baik dia tidak terpaksa menyungsung benak, fikirnya. Benak hanya milik Batang Lupar dan Batang Sadong. Suntong kini menghampiri tebing di bawah lembayung daun pokok pukul lima.
Kubu Margherita memang kukuh, bahan binaannya adalah batu. Dulu ketika pemerintahan James Brooke kubu di Berlidah dibuat daripada kayu belian dan kerap diserang musuh. Tetapi Kubu Margherita tetap kukuh tanpa sebarang percubaan serangan oleh pejuang. Di situ ada gudang senjata dan bilik tahanan banduan sebelum menjalani hukuman mati.” Suntong teringat kata-kata Datu Bujang.
“Tiap-tiap malam, dari situ datangnya suara gagah pengawal-pengawal berteriak menyatakan keadaan terkawal. Itu kerja kau, kalau kau sanggup. Yang penting kau belajar guna senjata orang putih.” Masih terngiang-ngiang di telinga Suntong pujukan Datu Bujang agar dia setuju masuk pasukan Renjer Sarawak.
Suntong pernah berkhidmat sebagai Renjer Sarawak dan menjaga kubu putih. Tetapi kini Suntong mahu meruntuhkan kubu itu dan mengusir Brooke. Dia pernah meluahkan hasratnya kepada Datu Bujang. Dia tidak takut menyatakan hasrat kepada bapa saudaranya. Dia boleh berjuang walaupun sendirian. Badannya tegap berotot kuat.
“Bercakap kena berfikir, pandang-pandang, jangan ikut sedap mulut nanti badan binasa.” Datu Bujang menepuk bahunya.
“Sampai bila kita nak diam?" Suntong memprotes dengan nada geram. Datu Bujang mahu Suntong berhati-hati menyusun rancangan dan usah gopoh. Suntong diingatkan tentang kegagalan Syarif Masahor dan Datuk Patinggi Abdul Gapur dalam usaha menyerang Kuching. Rahsia pecah hingga sampai ke telinga Raja Charles Brooke.
Geram hati Suntong menjadi-jadi ketika melihat tebing tinggi bertanjung itu. Dia melihat kubu berwarna putih tegak megah. Kubu itu diberi nama Margherita sempena nama isteri raja penjajah. Kubu putih itu seolah-olah mengejek Suntong yang mahu merapati tebing. Itu yang dirasakan hati Suntong. Berkayuh ke tepian sungai tidak sepayah hati melihat kubu. Tiap kali berkayuh ke situ hatinya pedih diejek kemegahan Kubu Margherita. Kubu itu seperti berteriak ke arahnya, “Lihatlah aku akan kukuh melindung Brooke untuk memerintah 100 tahun lagi.”
Suntong terus berkayuh sambil memerhati letak alam di sekitar bagi melupakan sebentar kubu yang memanaskan hatinya. Di seberang sana bertentangan dengan kubu, ada pejabat Syarikat Borneo dan deretan kedai Cina yang membentuk sebuah kota. Suntong tahu di atas Bukit Mata Kucing ada banglo-banglo mewah kerana dia pernah ke situ. Persekitaran Sungai Sarawak masih lagi indah alamnya dengan tebatan pokok-pokok besar. Dari jauh kelihatan Tugu Charles Brooke. Di tebing sungai sebelah sana sebuah stor menyimpan minyak kepunyaan Syarikat Borneo agam berdiri. Di sebelah kubu putih, letak Astana kediaman Raja Putih.
Suntong memerhati pula pondok-pondok penduduk di tebing bersebelahan Astana. Sungguh daif. Perbezaan latar itu menyentuh hatinya.
Namun Suntong dibayangi peringatan Datu Bujang agar jangan bertindak terburu-buru. Kadang-kadang Suntong menganggap nasihat itu satu halangan. Halangan yang cuba dibuat agar golongan belia bangsa seperti dia tidak bangun memberontak. Suntong kerap berfikir tentang halangan itu. Ada prejudis tumbuh dalam benaknya terhadap kepemimpinan orang tua seperti Datu Bujang.
Kepimpinannya
Bagi Suntong Datu Bujang laksana kerbau dicucuk hidung. Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri. Kepemimpinannya hanya menghambat anak muda daripada memberontak. Pemimpin yang takut kehilangan kuasa jika anak buah memberontak. Aku fikir itu tujuan Raja Brooke membawa orang seperti Datu Bujang dalam pentadbiran, agar tiada pemberontakan. Hati Suntong merungut lagi. Warna-warna hitam melekat di hati.
Suntong menyelak lipatan sejarah dalam kepala tatkala tangan kekarnya masih berkayuh mencari tempat menebar jala. Dia ingat orang Melayu pernah memberontak pada akhir tahun 1830-an terhadap pemerintahan orang Melayu Brunei. Datu Patinggi Ali berjaya meniup semangat juang orang Melayu agar bangkit daripada penindasan. Kota Kuching akhirnya bebas dan Pangeran Indera Mahkota balik ke Brunei. Bebas hanya beberapa ketika sahaja. Datang Pangeran Raja Muda Hasyim mengambil jalan mudah menentang pemberontakan dengan mengundang bantuan asing. Orang Melayu hidup di bawah telunjuk askar pencen yang dilantik menjadi raja.
“Aku bukan melarang atau menahan kau daripada menentang Raja Brooke. Tapi aku mahu tindakan kita tidak berbuah kecewa. Ramai yang akan mati dan hidup kita semakin hina.” Suntong ingat kata-kata Datu Bujang yang seperti membela diri.
“Setiap perjuangan memang perlukan pengorbanan. Kita perlu mencuba sebelum berfikir tentang kegagalan.” Suntong pula menyanggah pendapat bapa saudaranya.
“Suntong, aku tahu kau berdarah pejuang. Dalam diri aku pun mengalir darah yang sama. Kita tunggu masa mengatur langkah pertama. Jangan terburu-buru. Langkah pertama lebih bermakna jika sudah cukup bekalan di dada dan di tangan.” Kata-kata Datu Bujang membunuh prejudis Suntong walaupun bukan semuanya padam.
“Khabar dari Astana Perlembagaan Sarawak untuk anak Sarawak. Sarawak akan diperintah rakyat Sarawak. Majlis Negeri diberi kuasa memerintah. Perlembagaan ini ke arah memerdekakan Sarawak. Jika benar, mudah kerja kita tanpa menggunakan kekerasan.” Datu Bujang mengkhabarkan hasrat Raja Charles Vyner Brooke ketika perayaan 100 tahun memerintah Sarawak. Khabar itu masih lagi panas dan menjadi buah mulut sesiapa yang mengerti.
Diterbitkan pada: Ogos 25, 2009
Sila Nilai abstrak ini : 1 2 3 4 5

Bookmark & share this post

.