• Daftar Diri
  • ‎Apakah Shvoong?‎
  • Daftar Masuk
    Daftar Masuk
    Ingat nama pengguna saya Terlupa kata laluan anda?

Ringkaskan Pengetahuan Manusia di Shvoong.

.

.

Utusan Malaysia

oleh : neutronboy     


FORT MARGHERITA (III)
Tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Tidak pernah didengar
bunyi dentum sekuat itu. Dentuman menggegar bumi berturut-turut disertai bunyi belon yang berdengung di atas langit. Dia mendongak. Beberapa buah belon terbang rendah dan melepaskan bom, berdentum menyentuh bumi. Bumi terbakar dan bangunan musnah. Deretan kedai bertukar jadi sarang api. Bunyi teriak orang di pasar seberang kedengaran seperti tangisan dari neraka. Banyak nyawa melayang pergi meninggalkan jasad. Bunyi dentuman kedengaran bertalu-talu. Sempat juga Suntong menaruh harapan pada bom-bom itu agar meruntuhkan Fort Margherita. Suntong lupa dia dalam bahaya. Dia masih di permukaan air. Tiba-tiba sebutir bom jatuh di tengah sungai bertentangan dengan kubu putih. Air sungai berkocak kuat seperti ada buaya besar menyerang mangsa. Suntong sekuat kudrat mengawal perahu. Tarian perahu akhirnya berhenti kerana tangan kekar Suntong mahir mengemudi. Suntong melompat naik ke tebing.
Dari tebing batu itu Suntong berdiri menyaksikan perubahan pada kota Kuching. Dia melihat sebuah stor minyak Syarikat Borneo di tebing sungai menjadi gunung api. Kebakaran amat dahsyat. Api dengan lahap menjilat minyak. Kepulan asap tebal menjulang ke awan. Cahaya terang pada tengah hari Jumaat yang panas itu bertukar malap hingga ke petang. Suntong kecewa kerana bom yang hampir mengenainya hanya bernoktah di situ.
“Brooke lemah. Jepun yang menggugurkan 24 biji bom dari Simpang Tiga hingga ke tengah sungai tidak mampu ditentang. Kita guna senjata Jepun ini jahanamkan Brooke.” Suntong membelek-belek senapang dan bom tangan hasil rampasan. Suntong terbayang kecekapan kawan-kawan dalam serang hendap di Matang. Beberapa kepala Jepun berjaya dipancung. Terbayang juga pancutan darah hanyir Jepun mengenai bajunya.
“Kita serang dari sungai. Aku sudah beberapa kali menjala di situ. Aku sudah tahu benar keadaan di situ. Aku pasti kita berjaya mendaki tebing tinggi hingga ke kubu. Kita bergerak malam ini.” Suntong memerhati bebola mata tujuh orang rakan pejuang bergilir-gilir. Suntong yakin dia dan rakan-rakan akan berjaya sekali lagi. Lapan orang pejuang bekas Renjer Sarawak itu cekap dan gagah. Selepas pembubaran Renjer Sarawak pejuang itu memenuhi dada dengan ilmu persilatan.
Pada malam penentuan itu, kecekapan, pengalaman dan ilmu telah menjayakan pejuang-pejuang mendaki tebing curam berlumut secara senyap. Belukar dan siratan akar-akar kayu dirempuh dengan mudah. Suntong dan rakan-rakan bersiap sedia dengan rifel dan machine gun. Muncung dihala ke arah pengawal yang mundar-mandir di atas benteng panjang di sebelah kiri kubu.
Dengan isyarat tangan Suntong memberi arahan untuk menembak. Gema tembakan bagaikan bertih digoreng tepat mengenai sasaran. Pengawal di atas kubu jatuh satu persatu. Kemudian naik beberapa orang lagi ke atas benteng. Tembakan berbalas dari Fort Margherita. Suntong melontar pula bom tangan sekuat hati. Bom jatuh di dinding dan menggegar kubu. Tembakan dari arah kubu semakin rancak dituruti dentuman bom. Suntong semakin bersemangat dan geramnya menggila untuk memusnahkan kubu. Dia berlari sambil menembak dan berguling-guling berlindung di tanah tinggi-rendah. Dengan semangat dan keberanian di tahap puncak dia menghampiri kubu dan melontarkan bom tangan sekuat tenaga. Sasaran tepat, bom melambung tinggi dan menjunam di tengah kubu. Hati Suntong puas melepas geram. Dia berundur menghampiri rakan di tebing sungai. Dia tahu pasukannya kurang peluru. Bom tangan pun sudah habis.
Tiba-tiba tembakan datang dari arah kanan kubu. Tembakan itu disasarkan ke arah kubu. Tembak menembak saling berbalas.
“Ayuh kita berundur menuruni tebing curam. Itu tentera Maeda. Biar pemusnah memusnahkan perosak.” Suntong bergerak ke arah tebing tinggi dan turun ke sungai dituruti rakan-rakan tanpa cedera.
Tatkala tentera Maeda mengambil alih Kuching dengan rasmi pada pukul lima petang hari yang malang itu, ketua tentera masih dihantui kisah semalam. “Siapa penyerang yang menodai Margherita sebelum Maeda?
Diterbitkan pada: Ogos 25, 2009
Sila Nilai abstrak ini : 1 2 3 4 5

Bookmark & share this post

.